1/18/2018

Pengantar Kitab Ibanah Al-Ahkam

Tags

Pengantar Kitab Ibanah Al-Ahkam

Nama kitab: Ibanatul Ahkam (Ibanah Al-Ahkam) Syarah Bulughul Maram
Pengarang: Alawi Abbas Al-Maliki ( السيد علوي بن عباس المالكي)
dan Hasan Sulaiman An-Nuri (حسن سليمان النوي)
Penerjemah: Nor Hasanuudin H.M. Fauzi
Bidang studi: Hadits hukum

Daftar Isi

  1. Mukaddimah 1
  2. Mukaddimah 2
  3. Download Terjemah Ibanah
  4. Download Terjemah Bulughul Marom
  5. Kembali ke: Kitab Terjemah Ibanatul Ahkam

Download Download Terjemah Ibanah

- Terjemah Ibanatul Ahkam 1
- Terjemah Ibanatul Ahkam 2
- Terjemah Ibanatul Ahkam 3
- Terjemah Ibanatul Ahkam 4

Download Bulughul Maram

- Terjemah Bulughul Maram 1
- Terjemah Bulughul Maram 2

MUKADDIMAH 2

Ada pula di antara mereka yang tidak mahu bertaklid kepada para ulama dari tiga generasi tersebut kerana mereka beranggapan Sunnah bukan sebagai sumber hukum; tidak diragukan lagi bahawa pendapat mereka itu bersumber dari pujuk rayu syaitan semata. Di antara mereka ada pula orang yang tidak memiliki pengetahuan yang mendalam hingga akhirnya mengingkari kewujudan nasikh dan mansukh, bahkan ada pula sebahagian mereka yang mengingkari kewujudan qiyas.

Pernah ada seseorang dengan penuh rasa bangga diri mengaku mampu berijtihad dan berhasrat menyimpulkan hukum-hakam dari al-Qur‟an dan Sunnah yang kedua-duanya berbahasa Arab, padahal dia sendiri tidak mengetahui cara membaca perkataan Arab dengan bacaan yang selamat dari kesalahan, bahkan dia sama sekali tidak mengetahui ilmu nahu; sedangkan ilmu nahu itu merupakan kunci setiap ilmu yang berbahasa Arab. Demi Allah, mengapakah orang seperti mereka masih memaksakan diri mengaku mampu melakukan istinbath seperti mana istinbath yang dilakukan oleh ulama salaf yang soleh dan mengkategorikan diri mereka termasuk ke dalam golongan para mujtahid?

Kami tidak termasuk orang yang mengatakan bahawa pintu ijtihad telah ditutup. Pintu ijtihad masih tetap terbuka lebar hingga hari kiamat, tetapi hanya bagi orang yang mampu dan ahli mengenainya dan telah terbukti mampu dalam istinbath serta menguasai segala apa yang wajib dia ketahui mengenai nasikh dan mansukh serta apa-apa yang telah disepakati oleh ijmak.

Sesungguhnya kurnia Allah itu amatlah luas dan bakat itu merupakan anugerah dari-Nya. Allah mempunyai kurnia yang maha besar, adakalanya Allah menganugerahkan kefahaman tentang al-Qur‟an dan Sunnah Nabawi kepada sebahagian hamba-Nya, namun itu pun masih banyak yang belum mampu mencapai darjat ijtihad mutlak.

Mengakui sekaligus membenarkan berijtihad kepada seseorang yang bukan ahlinya adalah perbuatan batil. Ini merupakan sumber fitnah, mengabaikan perkara yang hak, mengkaburkan kebenaran, tidak mematuhi ketentuan Ahli Sunnah wal Jamaah dan menentang jumhur ulama.

Wahai kaum muslimin sudah berapa banyak kita menderita dan ditimpa petaka kerana perbuatan orang bodoh yang mengaku dirinya sebagai mujtahid. Mereka menginginkan agar kalimat agama berpecah belah dengan mencela para imam terdahulu, menyalakan api fitnah, dan merosak maruah ulama. Mereka gemar mengemukakan perbezaan dalam segala tindakan dengan berselindung di sebalik kemaslahatan, tunduk kepada syaitan, cintakan kebendaan, mengejar

kedudukan, memecah-belah perpaduan dan mengganggu ketenteraman awam.
Ungkapan ringkas ini kami kemukakan sebagai mukadimah ke atas kitab kami yang berjudul Ibanah al-Ahkam fi Syarh Bulugh al-Maram yang bertujuan menampilkan keutamaan kitab ini dengan mengisyaratkan betapa mulia kedudukan penulisnya, al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau telah mengerahkan segenap kemampuan dan jerih payahnya untuk menghimpun semua dalil hukum-hakam syariat disertai dengan usaha untuk mencari penyelesaian antara hadis-hadis yang seakan saling bercanggah, menjelaskan kedudukan hadis-hadisnya dan menisbahkannya kepada orang yang menyebutnya. Ini dapat dijadikan pegangan bagi penuntut ilmu sekaligus peringatan orang alim.

Dalam mensyarahkan kitab ini, kami menggunakan kaedah baru yang insya-Allah bermanfaat kerana ia sesuai dengan tuntutan zaman dan bersesuaian pula dengan kaedah pendidikan moden, tanpa menyebut masalah tarjih terhadap satu dalil ke atas dalil yang lain. Ini kerana kaedah tarjih akan menyimpang dari asal tujuan kami, iaitu mengetengahkan dalil hukum-hakam syarak dalam bentuk yang ringkas. Kami mengemukakan kaedah ini dengan niat yang ikhlas, mengharapkan yang terbaik dan sama sekali bukan bertujuan untuk merendahkan peribadi seseorang atau menghinakan kedudukannya. Ini jelas tidak akan dilakukan oleh orang yang berakal sihat dan tidak jahil pun tidak akan merasa tersinggung kerananya. Bak kata pepatah, melukai mayat tidak akan merasakan sakit. Tujuan kami menulis buku ini adalah untuk memberikan bimbingan kepada kaum muslimin, mengingatkan orang yang sedang belajar betapa mulia kedudukan ulama salaf soleh dan untuk menggugah mereka agar sentiasa bersatu padu, kerana ini perkara paling penting yang mampu menyempurnakan kehidupan mereka dan ia semestinya menjadi keutamaan mereka. Kita sekarang amat memerlukan perpaduan di kalangan kaum muslimin daripada terus bertikam lidah dalam mengemukakan perbezaan pendapat yang akibatnya dapat menghancurkan kekuatan dan persediaan melawan musuh. Keadaan inilah yang mendorong bangsa lain bersatu padu memperebutkan kita seperti lalat mengerumuni bangkai. Kita sekarang sedang berada dalam kemelut dan lupa keadaan kita sendiri. Marilah kita berdoa kepada Allah (s.w.t) semoga Dia menyatukan kalimat dan perpaduan kaum muslimin.

Berikut ini kami kemukakan beberapa kitab yang dijadikan sebagai bahan rujukan bagi syarah kitab ini untuk membuktikan sejauh mana perhatian ulama, terdahulu mahupun terkini terhadap kitab ini sama ada dalam bentuk kajian mahupun karya tulisan.

1. Kitab Badr al-Tamam oleh al-Qadhi Syarafuddin al-Husein ibn Muhammad ibn Sa‟id al-La‟i yang dikenali dengan al-Maghribi. Beliau pernah menjawat sebagai kadi Shana‟a dan meninggal dunia pada tahun 1119 Hijriah. Kitab ini belum pernah dicetak, melainkan masih dalam bentuk manuskrip. Kami telah meminjamnya dari yang mulia Syeikh Muhammad Khalil Thayyibah.

2. Kitab Ifham al-Afham, syarah yang ditulis oleh al-Sayyid Yusuf ibn Muhammad al-Ahdal, meninggal dunia pada tahun 1242 Hijriah. Kitab ini pun sama dengan yang sebelumnya, iaitu belum pernah dicetak. Kami

meminjamnya dari yang mulia Syeikh Muhammad Khalil Thayyibah. Dalam kitab tersebut terdapat beberapa pembetulan yang dibuat oleh Almarhum guru kami yang mulia Syeikh „Umar Hamdan al-Mahrusi.

3. Kitab Subul al-Salam oleh Imam Muhammad ibn Isma‟il al-Amir al-Yaman al-Shan‟ani, meninggal dunia pada tahun 1107 Hijriah. Kitab ini telah dicetak dan banyak diedarkan di mana-mana.

4. Kitab Fath al-„Allam oleh Syeikh Abu al-Thayyib Shadiq ibn Hasan al-Qannuji, Raja Buhubal. Kitab ini telah dicetak dan telah diedarkan, namun kuantitinya tidak banyak.

Selanjutnya kami akan mengemukakan sanad kitab ini untuk menyempurnakan manfaatnya. Kami meriwayatkan kitab Bulugh al-Maram dan semua kitab yang ditulis oleh al-Hafiz ibn Hajar rahimahullah melalui ijazah secara umum dan ijazah secara khusus daripada guru kami, Syeikh „Umar Hamdan al-Mahrusi. Ia menerimanya daripada gurunya, iaitu Syeikh al-Sayyid Muhammad Thahir al-Witri; ia menerimanya daripada gurunya, iaitu Syeikh Abdul Ghani al-Mujaddidi; ia menerimanya daripada gurunya, iaitu Syeikh Muhammad „Abid al-Sindi; ia menerimanya daripada gurunya, iaitu Syeikh Shalih al-Fulani al-„Umri; ia menerimanya daripada gurunya, iaitu Syeikh al-Syarif Muhammad ibn „Abdullah al-Walati; ia menerimanya daripada gurunya, iaitu Syeikh Muhammad ibn Urkumasy al-Hanafi; ia menerimanya daripada gurunya, iaitu Syeikh al-Hafiz Syihabuddin Ahmad ibn Hajar al-„Asqalani al-Hafiz, rahimahumullah.

Selain itu dalam kitab syarah ini kami ingin menambahkan penjelasan mengenai beberapa istilah yang berlaku di kalangan ulama hadis supaya para pe-lajar mengetahuinya dan tidak kebingungan dalam memahaminya.

Berikut ini kami kemukakan mukadimah ringkas yang di dalamnya mengandungi kaedah-kaedah ilmu hadis secara riwayat sebagai keterangan untuk para penuntut ilmu dan sebagai peringatan bagi ulama serta dapat dijadikan sumber rujukan.
Dalam kaitan ini tidak lupa kami memohon kepada Allah Yang Maha Pemurah semoga Dia menjadikan jerih payah kami dalam menyusun kitab ini ikhlas kerana-Nya dan diterima di sisi-Nya.

Pengarang:

„Alawi Abbas al-Maliki
Hasan Sulaiman al-Nuri

Dapatkan buku-buku Islam karya A. Fatih Syuhud di sini.. Konsultasi agama, kirim via email: alkhoirot@gmail.com

Untuk Konsultasi Agama kirim ke: alkhoirot@gmail.com atau info@alkhoirot.com
Dapatkan buku-buku Islam karya A. Fatih Syuhud di sini!

EmoticonEmoticon