Kandungan Hadits

Sanad ialah rangkaian perawi untuk sampai kepada matan Hadis. 1. Periwayatan Hadits a. Cara-cara Pengambilan Dimaksudkan dengan cara-cara pengambilan ialah jalan pengambilan Hadis oleh perawi dan pengambilan secara berguru dari syeikhnya. Terdapat beberapa bentuk pengambilan dan pemindahan Hadis. Sebelum ianya dijelaskan secara terperinci, di sini terdapat beberapa perkara penting yang perlu diketahui: Pertama: Sah pengambilan Hadis walaupun tidak mengetahui masalah Hadis malah boleh diterima riwayat dari orang yang mengambil Hadis sebelum Islam dan meriwayatkannya setelah memeluk Islam.
Kandungan Hadits

Daftar Isi Kitab


III. KANDUNGAN HADITS

A. SANAD

Pengertiannya pada bahasa:

Al-Mu'tamad. Sebab dinamakan dengan Al-Mu'tamad ialah kerana Hadis disanadkan kepadanya dan berpegang dengannya.

Pengertiannya pada istilah:

Sanad ialah rangkaian perawi untuk sampai kepada matan Hadis.

1. Periwayatan Hadits

a. Cara-cara Pengambilan

Dimaksudkan dengan cara-cara pengambilan ialah jalan pengambilan Hadis oleh perawi dan pengambilan secara berguru dari syeikhnya.
Terdapat beberapa bentuk pengambilan dan pemindahan Hadis. Sebelum ianya dijelaskan secara terperinci, di sini terdapat beberapa perkara penting yang perlu diketahui:

Pertama: Perawi Awam

Sah pengambilan Hadis walaupun tidak mengetahui masalah Hadis malah boleh diterima riwayat dari orang yang mengambil Hadis sebelum Islam dan meriwayatkannya setelah memeluk Islam. Begitu juga riwayat dari orang yang mendengarnya sebelum baligh dan meriwayatkannya selepas baligh. Manakala kaum kedua pula berpendapat sebaliknya tetapi pendapat mereka adalah silap kerana orang ramai telah menerima riwayat-riwayat Hadis daripada para sahabat seperti: Hasan, Husain, Ibnu Abbas, Abdullah bin Az-Zubair, Nu'man bin Basyir dan selain daripada mereka tanpa membezakan apa yang mereka riwayatkan samada sebelum baligh atau selepasnya. Sebagai contoh Hadis Jabir bin Mut'am yang disepakati kesahihannya telah diambil semasa beliau masih dalam keadaan kufur: Sesungguhnya beliau mendengar Nabi s.a.w membaca surah At-Thur semasa sembahyang Maghrib, beliau datang untuk menebus tawanan peperangan Badar sebelum beliau memeluk Islam, manakala di dalam riwayat Imam Bukhari pula: ( ... itulah kali pertama kebesaran Islam lahir di dalam hatiku).

Kedua: Perawi Anak-anak

Sah pendengaran kanak-kanak apabila dia berakal dan kuat daya ingatan. Sesungguhnya Imam Ahmad bin Hambal ditanya: Bilakah diharuskan pendengaran kanak-kanak؟ Beliau menjawab: Apabila dia berakal dan daya ingatannya kuat. Seorang lelaki berkata kepadanya: Tidak harus pendengarannya (kanak-kanak) sehinggalah dia berumur lima belas tahun tetapi Imam Ahmad bin Hambal mengingkarinya dan berkata: Itu kata-kata yang tidak elok!. Qadi Iyadh telah menceritakan bahawa penduduk As-San'ah telah menentukan bahawa umur yang disahkan pendengaran bagi kanak-kanak adalah bermula ketika kanak-kanak tersebut berumur lima tahun. Ini adalah pendapat sebahagian besar ulama. Hujah mereka adalah berdasarkan kepada Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan selain daripadanya yaitu Hadis Mahmud bin Ar-Rabi' r.a dimana katanya: Aku ingat Nabi s.a.w telah menyimbah air ke wajahku dengan sebuah timba yang ketika itu aku berumur lima tahun. Dalam masalah ini Imam Bukhari mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya: Bilakah disahkan pendengaran kanak-kanak؟

Ibnu Solah berkata: Cara yang paling betul untuk memastikan mumayyiz ialah berdasarkan kepada kemampuan seorang kanak-kanak memahami persoalan dan dapat memberi jawapan dengan baik. Itu adalah tanda dia telah mumayyiz dan sah pendengarannya walaupun umurnya tidak sampai lima tahun.

Terdapat delapan cara meriwayatkan Hadis:

1 - Mendengar:

Mendengar Hadis dari lafaz Syeikh. Bahagian ini adalah bahagian yang teratas dan bentuk riwayat yang tertinggi di sisi sebahagian besar Ulama. Mendengar terbahagi kepada menulis dan meriwayatkan Hadis tanpa menulis samada dari hafalan atau atau tulisannya. Sementara itu menulis merupakan cara yang terbaik dari caracara yang lain walaupun kedua-duanya mempunyai nilai yang sama pada martabat (kedudukan) asalnya.

2 - Pembacaan:

Pembacaan bermaksud membaca Hadis di hadapan Syeikh. Kebanyakan ahli Hadis menamakannya sebagai pembentangan bacaan daripada pembaca di hadapan Syeikh sebagaimana pembentangan Al-Quran bagi Qari tetapi Syeikhul Islam Ibnu Hajar telah berkata di dalam Syarah Al-Bukhari: Di antara pembacaan dan pembentangan terdapat masalah umum dan khusus. Pembacaan lebih umum dari pembentangan.

Pembacaan dikira berdasarkan samada anda sendiri yang membaca di hadapan Syeikh atau orang lain yang membaca di hadapannya dan anda mendengarnya. Pembacaan juga dikira walaupun melalui kitab, hafalan, Syeikh yang menghafaz apa yang dibaca di hadapannya atau tidak menghafaznya tetapi menjaga asal usulnya serta mempercayai perawi selainnya. Oleh yang demikian tidak ragu-ragu lagi bahawa ianya merupakan riwayat yang sahih selagi apa yang diceritakan itu tidak terdapat perselisihan yang amat ketara.

3 - Ijazah:

Ijazah merupakan keizinan meriwayatkan Hadis samada sebutan atau penulisan. Walau bagaimanapun ulamaulama Hadis berselisih pendapat tentang martabatnya berbanding dengan martabat (kedudukan) sebelumnya. Pendapat yang paling tepat dalam masalah ini ialah Ijazah bukanlah berbentuk pembacaan di hadapan Syeikh dan mendengar daripadanya.

Tujuh Cara Ijazah Adalah Seperti Berikut:

1- Syeikh menentukan seseorang yang hendak diijazahkan seperti seorang Syeikh berkata kepada muridnya:
Aku Ijazahkan kepada awak kitabku ini. Para Ulama berselisihan pendapat tentang hukum meriwayat dan beramal dengannya. Sebahagian besar Ulama telah memberi pendapat bahawa harus meriwayat dan beramal dengannya walaupun terdapat segolongan ahli Hadis yang membatalkannya seperti Syu'bah yang berkata:

Sekiranya di haruskan Ijazah nescaya terbatallah perjalanan menuntut Hadis. Riwayat ini adalah merupakan salah satu daripada dua riwayat Imam As-Syafie.

2- Syeikh tidak menentukan orang yang hendak diijazahkan, contohnya Syeikh berkata: Aku Ijazahkan kepada kamu apa yang kamu dengar daripadaku. Perselisihan pendapat tentang mengharuskan riwayat di sini lebih kuat daripada sebelumnya.

3- Syeikh tidak menentukan seseorang untuk diijazahkan sebaliknya menggunakan lafaz umum seperti Syeikh berkata: Aku Ijazahkan kepada semua umat Islam atau orang yang sezaman denganku. Perselisihan pendapat pada hukum ini lebih teruk lagi.

4- Memberi Ijazah kepada orang yang tidak dikenali atau dengan cara yang tidak diketahui dan memberi Ijazah pada akhir percakapannya yang bergantung kepada syarat seperti dia berkata: Aku Ijazahkan kepada Muhammad bin Khalid sedangkan pada masa tersebut ramai yang mempunyai nama tersebut tanpa menentukan salah seorang dari mereka atau dia berkata: Aku Ijazahkan kepada Polan untuk meriwayatkan daripada aku kitab sunan sedangkan dia meriwayatkan banyak kitab-kitab sunan tanpa menentukannya. Apabila dia berkata (aku Ijazahkan kepada sesiapa yang mahu) ini adalah perkara yang tidak diketahui dan bergantung kepada syarat
maka pada zahirnya ia adalah tidak sah.

5- Memberi Ijazah kepada orang yang belum dilahirkan dengan berkata: Aku Ijazahkan kepada anak yang akan dilahirkan oleh si-Polan. Ijazah ini terbahagi kepada dua bentuk: Pertamanya ialah mengaitkan anak yang bakal dilahirkan sebagai ada dan bentuk ini adalah lebih diharuskan untuk memberi Ijazah berdasarkan kiasan kepada waqaf yaitu hadir di hadapan pemberi ijazah.

6- Memberi Ijazah kepada anak yang tidak dikandungkan seperti dia mengijazahkan kepada orang yang tidak pernah mendengarnya supaya meriwayatkan kembali apa yang diijazahkan kepada orang lain. Sebetulnya cara ini adalah dilarang.

7- Pemberi Ijazah memberi Ijazah dengan berkata: Aku Ijazahkan kepada kamu ijazah-ijazahku tetapi cara ini tidak dipersetujui oleh orang-orang yang tidak mengambil berat masalah ini. Apa yang pentingnya ialah orang yang beramal dengan ijazah yang diberikan kepadanya walau dalam apa jua cara sekalipun.

4- Munawalah yaitu Penyerahan:

Muwalah ialah pemberian riwayat asal yang didengari oleh Syeikh kepada muridnya melalui bahagian-bahagian yang menyamai dengan kitabnya dan dia berkata: Ini adalah riwayatku dari Polan, oleh itu riwayatkanlah pula daripadaku.

Cara ini adalah sahih malah ia juga merupakan cara asal sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Imam Bukhari dalam bab Ilmu:
(Bahawa Rasulullah s.a.w telah menulis satu risalah kepada ketua tentera lalu bersabda: Kamu jangan membacanya sehingga tiba pada tempat tertentu. Apabila tiba pada tempat yang dimaksudkan, beliau membacanya kepada orang ramai serta memberitahu kepada mereka tentang perintah Nabi s.a.w). Munawalah terbahagi kepada dua bahagian:

Disertai dengan Ijazah dan tidak disertai dengan Ijazah. Bahagian yang disertai dengan Ijazah ialah peringkat Ijazah yang tertinggi manakala bahagian yang tidak disertai dengan Ijazah seperti terus menyerahkannya adalah terbatas kepada: Ini adalah yang didengar. Sebenarnya tidak harus meriwayatkan dengan cara begini. Pendapat yang sahih bahawa kedudukan Munawalah adalah lebih rendah dari pendengaran dan pembacaan malah pendapat ini adalah pendapat imam-imam yang terkemuka.

5- Penulisan:

Penulisan ialah seorang Syeikh menulis apa yang didengarinya, menulis beberapa Hadisnya kepada orang yang hadir bersamanya atau kepada orang yang tidak hadir bersamanya. Penulisan ini boleh dilakukan samada beliau sendiri yang menulisnya atau ditulis daripadanya dengan perintahnya.

Penulisan terbahagi kepada dua bentuk: Disertai dengan Ijazah dan ini adalah bentuk yang sah dan kuat seperti Munawalah dengan Ijazah. Bentuk yang kedua pula ialah tulisan yang tidak disertai dengan Ijazah. Satu golongan telah menegah daripada meriwayatkan Hadis dengan cara begini seperti Al-Qadi Abu Al-Hasan Al-Mawardi As-Syafie malah ramai juga ulama-ulama terdahulu dan terkemudian yang mengharuskannya seperti Mansur dan Lais bin Saad. Penulisan ini memadai dengan mengetahui tulisan penulis dan sesetengah mereka telah mensyaratkan tulisan yang terang, ini adalah pendapat yang lemah.

6- I'lam:

I'lam ialah Syeikh memberitahu kepada muridnya bahawa Hadis atau kitab ini didengari daripada Polan tetapi dia tidak mengizinkan untuk meriwayatkan daripadanya. Ramai dari kalangan ahli Hadis, ahli Feqah dan Ulama Usul telah mengharuskan riwayat dengan cara ini seperti Ibnu Juraij dan Ibnu Sibagh. Pendapat yang sahihnya tidak harus meriwayatkannya tetapi wajib beramal dengannya sekiranya sanadnya sah. Pendapat ini telah diputuskan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Al-Mustasfa

7- Wasiat:

Wasiat ialah seorang Syeikh mewasiatkan dengan menulis riwayatnya ketika hampir meninggal dunia atau sebelum musafir kepada seseorang. Ulama salaf (sahabat) r.a telah mengharuskan kepada orang yang diberi wasiat supaya meriwayatkan wasiat tersebut kerana pada pendapatnya ia merupakan suatu keizinan. Ada sesetengah pendapat yang menegah dari meriwayat dengan cara begini. Walau bagaimanapun pendapat yang betul ialah diharuskan kerana kedudukan wasiat lebih tinggi daripada kedudukan Al-Wijaadah tanpa ada perselisihan pendapat malah ianya telah diamalkan oleh Imam As-Syafie serta imam-imam yang lain dan inilah cara yang paling utama.

8- Al-Wijadah:

Al-Wijadah adalah kata terbitan dari perkataan ( وجد ) yaitu kata terbitan yang tidak pernah didengari daripada orang-orang Arab. Al-Wijadah ialah perawi mendapatkan Hadis-hadis dari tulisan Syeikh yang dikenalinya tetapi dia tidak mendengarnya dari Syeikh dan tidak mendapat keizinan dari Syeikh untuk meriwayatkan Hadis darinya.

Mengikut riwayat yang diambil dari sebahagian besar ulama-ulama Hadis Mazhab Maliki dan selain dari mereka bahawa hukum beramal dengan Al-Wijadah adalah tidak harus. Manakala Imam As-Syafie dan pengikutnya pula mengharuskan beramal dengannya dan telah diputuskan oleh sesetengah pengkaji dari kalangan As-Syafie bahawa wajib beramal dengannya apabila didapati ianya boleh dipercayai.
LihatTutupKomentar